Wednesday 22 February 2017

SEJARAH BENDERA MALAYSIA

Bendera asal Malaysia

Sejarah Bendera Malaysia
Sejarah Bendera Malaysia bermula apabila Majlis Raja-Raja Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan satu Jawatankuasa pada tahun 1949 untuk menimbang serta membuat perakuan berkenaan dengan Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Satu pertandingan merekacipta bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. 373 orang telah mengambil bahagian didalam pertandingan ini dan tiga rekabentuk bendera telah dipilih ke peringkat akhir:
  • Reka bentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima.
  • Reka bentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi Keris Bersilang tersebut.
  • Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.
malaysia flag


Sebelum memilih rekabentuk bendera yang menjadi juara, Majlis Perundangan Persekutuan telah menjemput orang ramai untuk memberi pendapat masing-masing tentang rekebentuk yang disukai oleh mereka. Pendapat umum ini telah disiarkan oleh The Malay Mail.

Pada 28 November 1949, keputusan telah dibuat berdasarkan suara majoriti orang ramai yang memilih reka bentuk ketiga yang dicipta oleh seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah.
Mohamad

Pada 22 dan 23 Februari 1950, Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah bersetuju dengan Reka bentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan.

Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

"That in the opinion of this Council, the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:-

Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."

Rekabentuk tersebut diubah dengan menukar warna putih pada bulan dan bintang kepada warna kuning untuk melambangkan warna diraja bagi raja-raja Melayu dan juga menambah bucu bintang kepada 11 untuk mengambil kira jumlah negeri yang ada dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.
Malaya flag

Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu dan Pegawai-Pegawai King George VI.

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira penambahan negeri-negeri tersebut.

Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.



Walaupun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang berpenjuru 14 melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan (terdiri daripada 3 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.)

No comments:

Post a Comment