Bagaimana Bendera Malaysia mendapat nama Jalur Gemilang
Pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40, Perdana Menteri, Tun Mahathir bin Mohamad telah mengistiyarkan nama bendera Malaysia sebagai Jalur Gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sebelum itu, pada tahun 1995, Datuk Hashim Mat Dris mencadangkan bendera Malaysia diberikan nama rasmi seperti bendera kebangsaan Indonesia digelar Sang Saka Merah Putih, United Kingdom – Union Jack, Amerika Syarikat – Star Spangled Banner dan bendera Perancis digelar Tricolor.
Beliau memberi cadangan bendera Malaysia dinamakan sebagai "Si Tuah". Sempena nama Hang Tuah, pahlawan Melayu yang berani, gagah perkasa dan setia kepada raja.
Cadangan beliau itu kemudiannya telah diusulkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pada 11 Julai 1995 Tun Dr. Mahathir telah bersetuju supaya diadakan satu peraduan bagi memilih nama yang sesuai untuk bendera Malaysia. Oleh itu, satu Jawatankuasa Induk Peraduan Mencipta Nama Bendera Malaysia ditubuhkan. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan dianggotai oleh wakil daripada beberapa kementerian dan agensi yang berkenaan.
Dalam mesyuarat pada 1 April 1996, jawatankuasa induk peraduan mencipta nama bendera Malaysia telah bersetuju bahawa pemilihan cadangan nama bendera Malaysia tidak perlu dibuat melalui peraduan tetapi memadai dipilih daripada senarai nama yang dikemukakan oleh ahli-ahli jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian dan agensi yang berkaitan. Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju dengan cadangan tersebut. Nama Jawatankuasa itu kemudiannya ditukar menjadi, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia.
Jawatankuasa itu telah menimbang 75 cadangan nama berserta huraiannya. Setelah penelitian dibuat, tiga cadangan nama dipilih iaitu ‘Setia Perkasa’, ‘Seri Setia Perkasa’ dan ‘Seri Setia Negara’. Cadangan nama-nama tersebut dipilih kerana ia didapati sesuai sebagai lambang sejarah dan perjuangan negara serta mampu memupuk semangat jitu di kalangan rakyat untuk terus maju membina sebuah negara yang aman makmur.
Pada 11 September 1996, usul dikemukakan kepada jemaah menteri mengenai tiga nama cadangan yang dipilih. Namun, kesemua nama-nama tersebut gagal memikat hati ahli-ahli mesyuarat Kabinet yang berpandangan bahawa ia tidak benar-benar melambangkan sifat dan semangat yang diwakili oleh bendera Malaysia itu sendiri.
Jemaah menteri kemudiannya meminta supaya cadangan-cadangan baru dikemukakan. Berikutan keputusan itu, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia bersidang semula untuk mencari cadangan nama-nama baru untuk bendera Malaysia.
Dalam mesyuarat pada 2 Jun 1997 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Halim Ali, Ketua Setiausaha Negara pada waktu itu sebanyak 28 cadangan nama dipertimbangkan. Setelah membuat penelitian, mesyuarat bersetuju memilih tiga nama mengikut keutamaan seperti berikut: ‘Jalur Gemilang’, ‘Jalur Nusa Gemilang’ dan ‘Jalur Sinar Gemilang’.
Apabila ketiga-tiga cadangan nama tersebut dibentangkan pada 9 Julai 1997, jemaah menteri telah bersetuju supaya bendera Malaysia diberi nama ‘Jalur Gemilang’.
Nama Jalur Gemilang di ilhamkan oleh Tuan Haji Md. Rebuan @Md. Redzuan Bin Tumin Pegawai Dari Jabatan Muzium Antikuiti.
No comments:
Post a Comment